Assalamualaikum wbt,
Ingin ku tulis nota buat diri sendiri, agar suatu masa nanti dapat ku singkap masa-masa silam dalam fasa kehidupanku. Dalam setiap fasa, ibarat sebuah persinggahan di sebuah pelabuhan. Kadangkala indah, damai berlagu riang, kadangkala bising dengan hiruk pikuk kehidupan, kadangkala jua kosong tanpa sebarang pengertian…
Namun itulah sebuah perjalanan, turun naik suatu kehidupan. Tiada yang lebih hebat merancang selain yang MAHA ESA. Namun kita sebagai hambaNYA sentiasa harus bersyukur, sentiasa juga harus bersedia, sentiasa menerima dengan redha, kerana setiap yang berlaku telah ditentukan, dan sesungguhnya apa sahaja yang DIA kurniakan telah DIA ketahui bahawa kita mampu mengharunginya…
Cuma..
Cuma yang membezakan bagaimana kita mengatasi, bagaimana kita menguruskan setiap dugaan yang datang. Itu jua penilaian yang dibuat olehNYA. Itu juga pemarkahan yang dicatit oleh hulubalangNYA. Berjayakah kita di akhir perjalanan itu? Atau mungkin kegagalan yang kita pilih? Mengapa harus dipilih sebuah kedukaan di pengakhirannya?
Yang pasti, kita punya pilihan yang lebih baik. Pilihan yang kita sendiri telah maklum jalan serta liku-likunya. Itulah sebuah kehidupan, dimana kita dihidangkan dengan pelbagai pilihan. Pilihan yang kadagkala, malah selalu, mengaburkan penglihatan mata hati kita.
Walau apa jua yang kita huraikan, pastinya penghuraian yang terbaik adalah dari yang MAHA ESA. Carilah kerana semuanya ada, tinggal usaha yang menentukan kejayaan sesebuah pencarian… Moga kita semua ditempatkan di dalam golongan yang diberkati dan dicucuri rahmatNYA.
Nota kaki entri ini : Nota ini kutulis agar suatu masa ia menjadi peringatan buat diri ini bahawa landasan yang disediakan telah jauh kutinggalkan.
No comments:
Post a Comment